Thursday, May 9, 2013

Insan Lilin - Sempena Hari Ibu

Insan Lilin - Sempena Hari Ibu

Dalam hidup kita pasti ada insan yang akan berkorban apa sahaja untuk kita. Masa, tenaga, harta dan dirinya adalah untuk kita. Banyak perkara yang dilakukan adalah untuk memastikan diri kita bahagia dan gembira.

Tiada apa dalam hidupnya hanya untuk melakukan yang terbaik yang dia boleh lakukan untuk kita. Bangun pagi hari, adalah untuk kita, berjalan dan berlari adalah untuk kita, makan dan minum itu pun adalah untuk memastikan dirinya sihat dan cergas untuk kita. Hampir semua dalam dirinya untuk kita.

Tidak pernah dia merungut, adakala dia berhenti hanya untuk menarik nafas panjang, menghilangkan penat. Namun dia tidak bosan... Tidak bosan untuk terus melakukan yang terbaik untuk kita. Tidak bosan untuk mendengar setiap kata-kata kita, setiap luahan kita dan setiap kata-kata itu penting baginya.

Baginya, melihat kita bahagia, gembira dan mencapai kejayaan itu cukup untuk bahagia dirinya.......

Malah bila sudah lama bersama, kita sendiri jadi lupa akan dia. Kita anggap mudah akan kehadirannya dan apa yang dilakukan olehnya. Malah dia kita jadikan "punching back" untuk kita melepaskan kemarahan dan apa jua yang kita rasa tidak puas hati. Kita dengan mudah tidak senang dengan apa jua tindakan dia, miskipun kita tahu ia adalah untuk kita. Kita anggap remeh dan kita anggap ia tidak lagi perlu.

Insan lilin tidak akan merungut, atau membalas atau membuat apa-apa tindakan yang lagi mengeruhkan keadaan. Sabar adalah prinsip hidupnya. Biarlah dimaki dan diherdik, biarlah dimarahi dan dimalukan dihadapan orang ramai sekalipun, Biarlah. Untuk pengorbanan yang ke sekian kalinya. Ia dimaafkan. Dia sering memaafkan kita. Kerana memaafkan orang lain itu juga adalah satu pengorbanan. Pengorbanan yang tidak berbelah bahagi untuk insan yang penting dalam hidupnya.

Pengorbanan adalah apabila tiada apa pada diri kita adalah untuk kita.

Namun, seperti orang lain juga, dia ada perasaan. Dia ada hati. Dia ada kehendak. Perkara-perkara  buruk dan sedih yang selalu disembunyikan untuk dikongsikan, terus dibiarkan sembunyi. Tidak apa pun dikongsikan tentang duka dan sakit dirinya, kerana matlamat hidupnya adalah untuk buat kita gembira. Berkongsi perkara sedih ditakuti hanya lagi membuat kita rasa sedih tiada kegembiraan.

Hatinya, sering sunyi. Mana hendak dicerita rasa dukanya. Mana hendak dicoret rasa sedih agar yang sebu dan sedu itu dapat diluahkan. Mungkin mungkin dalam diam, dia menangis. Mungkin mungkin dalam diam, hatinya pedih menahan sebak yang melanda dirinya. Tiada apa yang dapat dia buat melainkan, jadi kuat dan jadi tabah. Biarlah hati ini menanggung sendiri. Makan hati dan menjadi barah.

Sejauh manakah kita mengenali insan yang menjadi lilin kepada kita? Sejauh mana kita mengenali dia, mengetahui tindakan dia untuk kita. Sedalam mana kita dapat lihat pengorbanan yang dia lakukan untuk kita.

Ibu bapa kita, adalah insan lilin kepada anak-anaknya. Suami atau isteri adalah insan lilin kepada pasangannya. Sahabat kita, adalah insan lilin kepada kita. Pemimpin adalah insan lilin kepada orang ramai yang memerlukannya..

Dan diri anda sendiri  ......

Hafnie / Hafija

Hakcipta Terpelihara ....

9 Mei 2013 - versi 2 Sempena Hari Ibu

Ibu adalah ratu hatiku ....


No comments:

Popular Posts